KUCHING – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak melumpuhkan kegiatan penyeludupan produk ubat-ubatan/ herba hasil pemeriksaan ke atas sebuah Land Rover di Daerah Bau pada 11 Julai lalu.
Komander PGA Briged Sarawak SAC Che Ghazali Che Awang berkata kenderaan itu ditahan oleh pasukan Infantri Batalion 11 PGA Kuching kira-kira pukul 7 pagi kerana disyaki membawa produk berkenaan tanpa kelulusan yang sah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Pasukan serbuan telah menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 62 tahun dan hasil pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 4,032 kotak produk ubat-ubatan / herba pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM305,161,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Bau dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Peraturan 7(1)(A) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 ,Akta Jualan Dadah 1952, Seksyen 37(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Sarawak 1958 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Che Ghazali berkata, dua tangkapan turut dilakukan ke atas sindiket penyeludupan produk makanan sejuk beku masing-masing di Sibu dan Bau. – KOSMO! ONLINE