ALOR GAJAH – Seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah mental diberkas polis selepas dilaporkan melakukan beberapa kes jenayah termasuk mencederakan orang awam dan samun sebuah kedai serbaneka, hari ini.
Suspek berusia 40 tahun dan masih bujang itu diberkas kira-kira pukul 11.15 pagi tadi di Kelemak dekat sini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, laporan pertama diterima pada pukul 11.39 malam semalam berhubung kejadian suspek melakukan ugutan jenayah di sebuah pasar mini di Taman Mutiara.
“Pada pukul 3.53 pagi tadi pula kita terima laporan suspek mencederakan seorang penunggang motosikal menggunakan pisau di tepi jalan di hadapan stesen pam minyak Caltex Kelemak.
“Sebelum itu dia juga telah membaling batu ke arah pintu cermin stesen minyak tersebut dan menunjukkan pisau kepada petugas kaunter,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, suspek kemudian dilaporkan melakukan ugutan jenayah dengan bersenjatakan parang serta melakukan samun di sebuah kedai serbaneka di pekan Alor Gajah pada pukul 4 pagi.
“Hasil siasatan awal suspek ini didapati mempunyai rekod penyakit mental dan dia yang tinggal bersama keluarganya dikatakan tidak mengambil ubat sejak seminggu lalu.
“Dia bagaimanapun turut mempunyai 12 rekod lampau iaitu enam kes jenayah dan enam membabitkan dadah, malah ketika ditahan dia juga positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Ashari berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 392/394/392/506 Kanun Keseksaan dan satu kes diklasifikasikan sebagai ROR (Refer Other Report).- KOSMO! ONLINE