PETALING JAYA – Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kualiti), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali dilantik sebagai Naib Canselor yang baharu.
Menerusi satu kenyataan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, pelantikan Mas Fawzi sebagai Naib Canselor kelima itu berkuat kuasa hari ini.
Jelas KPT, pelantikan untuk tempoh dua tahun itu bagi menggantikan Datuk Prof. Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim.
“Berusia 51 tahun, beliau mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sistem Elektromekanikal dari University of Manchester Institute Science and Technology, United Kingdom pada tahun 1997 dan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Mekanikal (Penyelidikan) dari Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 2007.
“Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar Hidupan dan Bumi di University of Tokoshima, Jepun pada tahun 2009,” kata KPT.
Mengulas lanjut, KPT memberitahu, Mas Fawzi juga memiliki pengalaman yang luas dalam tadbir urus universiti dan telah memegang pelbagai jawatan pentadbiran iaitu Timbalan Dekan, Pusat Pengajian Siswazah dan Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan.
Selain itu, beliau pernah menjadi Pengarah di Pejabat Perancangan Strategik dan Pengurusan Risiko, Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Perhubungan Korporat) dan yang terkini sebagai Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kualiti), UTHM.
“Beliau juga mempunyai pengalaman berkhidmat di sektor industri sebagai Jurutera Kalibrasi di Samsung Electronics Display Sdn. Bhd. dan Jurutera Industri di Sharp-Roxy Electronics Sdn. Bhd sebelum menyertai perkhidmatan awam pada tahun 2004.
“Kementerian yakin, gabungan pengalaman pentadbiran dan lapangan yang beliau miliki adalah merupakan aset berharga yang akan membantu beliau menerajui UTHM menjadi pusat ilmu yang dihormati, inovatif dan relevan dengan keperluan semasa.
“Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mantan Naib Canselor UTHM iaitu Dato’ Prof. Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim atas
jasa dan bakti sepanjang menerajui UTHM sebelum ini,” ujar KPT.-KOSMO! ONLINE