fbpx
MOHD. FADIL (kiri) dan Nor Hasniza menunjukkan buah durian dari Batu Kurau yang dijualnya di Kampung Matang Merbau, Bagan Serai semalam. – WAT KAMAL ABAS

Durian Perak mula ‘mendunia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGAN SERAI – Sepasang suami isteri di Kampung Matang Merbau, di sini, mampu memperoleh sehingga RM2,000 sehari dengan menjual durian Batu Kurau ketika musim kali ini.

Mohd. Fadil Sanif, 41, dan isteri, Nor Hasniza Hassan, 38, mengakui musim durian tahun ini lebih rancak berbanding sebelumnya walaupun ia menyebabkan masalah lambakan buah yang datang dari pelbagai lokasi.

Menurut Mohd. Fadil, sambutan memberangsangkan daripada orang ramai menyebabkan mereka terpaksa berulang-alik bagi mendapatkan bekalan du­rian sebanyak dua kali sehari berbanding sekali sebelum ini.

“Sambutan kali ini sangat memberangsangkan walaupun ramai peniaga lain yang turut menjual durian di kawasan Bagan Serai,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Ujarnya, selain menjual durian secara harian dari Selasa hingga Ahad, mereka turut menambah produk jualan pada hujung ­minggu dengan menyediakan laksa, cendol durian dan pulut durian untuk menarik lebih ramai pelanggan.

“Kami terharu apabila ada pelanggan sanggup datang le­bih awal sebelum bekalan buah sampai. Mereka sudah tahu waktu ketibaan durian kami, jadi kadang-kadang kami tak sempat susun pun lagi,” katanya.

“Kami menjual 10 kilogram (kg) dengan harga RM30 sahaja. Tujuannya bukan nak kaut untung besar tetapi nak pastikan semua orang dapat rasa. Musim ini buah memang banyak, jadi kami ambil untung sedikit saja,” katanya.

Ujarnya, harga jualan mereka lebih murah berbanding musim lalu iaitu sekitar RM5 sekilogram bagi gred yang sama.

“Setiap hujung minggu, kami turut tawar durian premium termasuk musang king, D24, udang merah dan durian kahwin kampung, manakala pada hari biasa tumpuan kepada durian kampung dari Batu Kurau,” ujarnya.

Di Tanjung Malim, seorang ibu tunggal anak lima, Norhasnah Baharom, 60, mampu me­raih antara RM3,000 sehingga RM4,000 sebulan dengan menjual durian kampung berharga RM6 sekilogram di gerainya berhampiran Jalan Besar Sungkai-Slim River, Sungkai sejak 10 tahun lalu.

“Durian kampung ini ternyata mempunyai peminatnya yang tersendiri selain mudah dijual berbanding raja buah yang lain.

“Rasanya sedap dan enak untuk dinikmati. Memang ada rosak sikit, pecah, sedikit merekah selain dimakan haiwan seperti kera dan tupai tetapi sekiranya bernasib baik, ada yang elok setanding dengan durian kampung lain yang berkualiti gred A.

“Rasanya bergantung kepada kualiti buah itu sendiri. Ada manis, sedikit pahit, berlemak dan banyak gas. Terpulang kepada minat masing-masing kerana selera orang berbeza-beza,” kata­nya semalam.

Katanya, dalam tempoh beberapa jam sahaja selepas gerai­nya beroperasi, durian yang ditawarkannya itu akan habis terjual.

“Ada juga pelanggan membelinya untuk dibuat tempoyak untuk dimasak gulai atau dibuat sambal yang dimakan bersama sayur-sayuran dan ulam-ulaman.

“Kuantiti yang diterima daripada peraih durian sekitar Tapah, Sungkai, Bidor, Kampar juga tidaklah banyak. Jadi siapa cepat dia dapat,” katanya.

Beliau turut menjual durian kampung lain dengan harga RM8 hingga RM12 sekilogram.

Tambahnya, menjual buah durian kampung dengan harga berpatutan sebegitu membolehkan lebih ramai peminat raja buah itu dapat menikmatinya bersama keluarga lebih-lebih lagi buat golongan B40.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN