PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kompleks Seri Perdana, di sini sebentar tadi bagi menghadiri perjumpaan dengan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).
Kenderaan yang membawa Pengerusi PH itu tiba tepat pukul 4.30 petang dengan diiringi kenderaan pengiring polis..
Terdahulu, beberapa kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah dipercayai milik menteri dan ahli parlimen daripada (PH) dilihat mulai memasuki perkarangan kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana, sebentar tadi.
Dilihat mula memasuki bangunan itu adalah kenderaan dinaiki Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sekitar pukul 3.45 petang.
Selepas itu, turut kelihatan kenderaan membawa Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Jumaat lalu, Anwar turut mengadakan pertemuan bersama semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Kompleks Seri Perdana.
Difahamkan, pertemuan itu bagi memperkukuhkan persefahaman dan menjelaskan beberapa isu membabitkan dasar kerajaan. – KOSMO! ONLINE