Budaya menghisap vape atau e-rokok dalam kalangan pelajar sekolah termasuk anak gadis dikatakan semakin menjadi-jadi sehingga ada yang terjebak dengan ‘trend zombie’.
Meskipun pelbagai desakan berhubung pengharaman jualan dan penggunaan vape di negara ini, namun perkara tersebut sehingga ke hari ini masih tiada kesudahan.
Bagi Pegawai Pendidikan Kanan dan aktivis anti merokok Persatuan Pengguna Pulau Pinang, N. V. Subbarow, pihaknya sekali lagi menggesa Kerajaan Pusat mengharamkan penjualan dan penggunaan vape serta e-rokok kerana isu tersebut sudah berada di luar kawalan.
“Sampai bila harus berbincang dengan industri vape untuk pengharaman vape dan e-rokok. CAP rasa ia tidak masuk akal, membuang masa dan bermain dengan kehidupan kanak-kanak.
“Vape dan e-rokok memusnahkan masa depan generasi muda. Ia terbukti. Banyak negara telah membuat larangan sepenuhnya untuk produk ini termasuk negara jiran kita,” katanya di sini.
Menurut beliau, pengguna vape terutama anak muda kini kini mula terdedah dengan risiko pengambilan bahan terlarang sekali gus telah mengubah gaya hidup harian mereka.
“Masalah utama ialah ramai remaja yang mula hisap vape atau e-rokok suka mencampurkan ganja atau dadah dalam cecair vape. Pada mulanya, trend ini adalah perisa buah-buahan termasuk cecair buah-buahan yang mengandungi nikotin.
“Tetapi, kemudiannya mereka menyukai bahan-bahan yang memberi mereka kuasa rangsangan. Mereka memanggil trend zombie. Ini adalah budaya baharu di seluruh dunia,” ujarnya lebih banyak cecair vape didakwa mengandungi dadah berbahaya.
Beliau memberitahu, produk tersebut seharusnya diharamkan segera bagi mengelak lebih ramai pengguna ketagih dengan ubat sintetik.
“Perisa vape bercampur dadah ini menjadikan ramai anak muda Malaysia menjadi penagih dadah baharu. Mereka tanpa disedari terjerumus ke dalam bentuk baharu penagihan dadah.
“Jadi, tidak perlu membentuk sebarang jawatan kuasa baru untuk mengkaji isu vape di negara ini. Statistik sudah ada, laporan pun sudah ada,” jelasnya.
Katanya, berdasarkan laporan dikeluarkan Kementerian Kesihatan, ketagihan remaja berumur 13 hingga 15 tahun terhadap vape meningkat daripada 211,084 pada 2017 kepada 301,109 pada 2022.
“Jika pihak berkuasa terus memberi alasan yang tidak munasabah dan menangguhkan tindakan mengharamkan vape dan e-rokok, bilangan pelajar dan individu yang ketagih cecair ubat vape bercampur nikotin akan meningkat tiga kali ganda menjelang 2030,” jelasnya.
Sehubungan itu, bagi penulis, pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak perlu menunggu kerajaan menggubal undang-undang berkaitan vape dan e-rokok. Ini kerana lesen perniagaan berada di bawah pihak berkuasa.
Jangan buang masa untuk katakan ‘tidak’ kepada vape kerana ia akan membuatkan lebih ramai pelajar sekolah terdedah dengan budaya tidak sihat sehingga membuatkan mereka ‘lupa diri’.















