PETALING JAYA – Bimbang impak negatif terhadao emosi sehingga menjejaskan kehidupan seharian berulang, pelakon yang juga pengarah Nam Ron mengambil pendekatan menolak tawaran melakonkan watak lelaki pedofilia.
Nam Ron atau Shahili Abdan, 56, berkata, meskipun sentiasa berfikiran terbuka menyahut cabaran melakonkan pelbagai karakter, dia tetap enggan melakukan sesiatu berkaiyan amang seksual terhadap kanak-kanak.
“Pada usia sekarang, apabila saya ditawarkan watak lelaki pedofilia melibatkan gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
“Memang terpaksa tolak sebab rasa sangat berat untuk dilakukan dan akan menyakitkan secara dalaman kerana lakonan ini ada kaitan dengan rasa,” katanya.
Bercerita lanjut, setiap watak hampir serupa yang pernah dijayakan sebelum ini, pengalaman melakonkan watak lelaki sebegitu memberi kesan berpanjangan terhadap kehidupan peribadi dan mengambil masa untuk ‘keluar’ dari dunia tersebut.
“Antara naskhah yang memberi impak kepada kehidupan saya sebelum ini ialah sebagai Rashid dalam drama Karlos yang ditayangkan pada 2013 iaitu seorang bapa panas baran, pemabuk dan suka berjudi sehingga terbawa-bawa emosi bila pulang ke rumah.
“Saya jadi cepat marah, sampai tengking anak-anak hanya sebab benda kecil. Mereka jadi tertanya-tanya mengapa saya berkelakuan sebegitu.
“Namun, syukur sekarang sudah tahu bagaimana nak kawal, saya tinggalkan karakter itu di set penggambaran. Kita berlakon guna rasa, tapi kena tahu bila perlu berhenti,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, pengarahn One Two Jaga itu sedang terlibat dalam pementasan teater Persiapan Seorang Aktor yang bakal dipentaskan di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) pada 17 hingga 20 Julai ini.
Bercerita tentang teater tersebut, Nam Ron mengakui seronok diberi peluang bekerja dengan pengarah, Syahrul Musa yang memberi ruang dan kebebasan untuk berkarya.
“Saya rasa seronok kerana banyak dibantu oleh pengarah yang sangat tenang dan tidak memberi tekanan kepada pelakon. Kami bebas berkongsi pendapat.
“Barisan pelakon utama seperti Aloy Paradoks dan Fazleena Hishamuddin juga sangat bagus dan berpengalaman. Saya tidak bermula dengan teater, jadi banyak belajar daripada mereka,” jelasnya.
Teater Persiapan Seorang Akor menyelami perjalanan seorang pelakon dalam mencari makna dan kejujuran di sebalik setiap watak yang dibawakan.
Naskhah berkenaan turut menyelongkar kisah seorang pelakon lelaki yang obses untuk mencapai kesempurnaan dalam lakonan bukan sahaja sebagai pelakon terbaik di Malaysia, malah untuk melangkaui kehebatan legenda-legenda seni pentas dunia.
Tiket-tiket berharga RM58, RM78 dan RM98 boleh didapati menerusi www.onetix.com.my. – KOSMO! ONLINE