fbpx

Fahaman New Age Movement mula menyusup dalam program motivasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kredit janaan AI (Gambar kecil: Asmadi)

KUANTAN – Jabatan Mufti Negeri Pahang memandang serius penularan fahaman ‘New Age Movement’ yang dilihat mula menyusup ke dalam masyarakat Islam khususnya melalui platform motivasi, pembangunan diri, rawatan alternatif dan pembangunan spiritual.

Mufti Pahang, Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata, gerakan itu membawa unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah Islam seperti pantheisme, reinkarnasi, pluralisme agama serta penyelewengan wahyu dan syariat.

“Gerakan ini begitu mudah menyerap ke dalam kursus-kursus pembangunan kendiri, seminar ‘healing’ dan latihan minda yang kelihatan seolah-olah neutral, tetapi sebenarnya membawa ajaran yang terpesong daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Umat Islam diingatkan agar berhati-hati terhadap mana-mana bentuk program yang menggunakan unsur metafizik dalam silibusnya yang tidak berasaskan ajaran Islam yang sahih,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah serta turath ulama muktabar adalah jalan sebenar dalam memenuhi keperluan kerohanian umat Islam.

Katannya, dalam isu tersebut, umat Islam disarankan merujuk kepada Jabatan Mufti untuk mendapatkan nasihat yang tepat berkenaan apa-apa kemusykilan termasuk melibatkan aktiviti-aktiviti yang menggunakan nama motivasi, pembangunan diri, spritual dan lain-lain yang berkaitan.

“Pendekatan psikospiritual dalam tasawuf yang melibatkan amalan seperti tazkiyah al-nafs, zikir, muraqabah serta pengenalan terhadap maqam-maqam kerohanian adalah alternatif yang seimbang dan sah untuk menangani kekosongan jiwa manusia moden.

“Ia tidak hanya menjaga akidah, tetapi juga mendidik jiwa agar kembali kepada Allah dengan penuh adab dan rasa kehambaan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI