fbpx

‘Nasib baik jumpa cepat bayi ini sebab ada anjing liar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LOKASI penemuan bayi lelaki di bahu jalan berbatu berhampiran Taman Cempaka Indah, Bukit Selambau dekat Sungai Petani pada semalam.

SUNGAI PETANI – “Nasib baik kami jumpa bayi itu cepat kerana kawasan ini sering didatangi anjing dan monyet liar.”

Demikian kata seorang penduduk yang menjadi individu terawal menemui bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan di atas tanah berbatu di kawasan bahu jalan dekat Taman Cempaka Indah, Bukit Selambau semalam.

Menurut wanita itu, dia sedang menjemur pakaian di belakang rumah kira-kira pukul 9.42 pagi sebelum terdengar suara tangisan bayi yang kuat.

“Mula-mula saya ingat suara dari rumah jiran, tetapi tangisan itu semakin kuat. Saya rasa pelik sebab setahu saya tiada siapa yang mengandung atau ada bayi di kawasan ini.

“Saya terus cari suara itu, tengok dalam longkang dan tepi jalan sebelum jumpa bayi itu dekat bahu jalan bersebelahan kawasan ladang kelapa sawit,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, bayi itu ditemui dalam keadaan tidak berpakaian serta berlumuran darah seperti baru sahaja dilahirkan.

“Saya terkejut bila tengok ada bayi di situ dan bila saya pergi dekat, dia terus berhenti menangis. Saya terus menjerit memanggil suami dan minta dia buat laporan polis,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang enggan dikenali berkata, dia turut terdengar suara bayi menangis, namun tidak mengesyaki apa-apa dan menyangka tangisan itu mungkin datang dari rumah jiran.

“Masa itu saya fikir suara mungkin dari rumah jiran yang ada tetamu atau keluarga bawa bayi. Setahu saya memang tak ada siapa yang ada anak kecil di kawasan ni.

“Saya memang tak syak apa-apa sebelum dengar jiran riuh cakap ada jumpa bayi. Waktu itu baru kami semua keluar tengok dan bantu bawa bayi itu ke tempat selamat,” katanya.

Terdahulu Kosmo! Online melaporkan seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemukan tanpa pakaian serta tidak berlapik di atas tanah berbatu di kawasan bahu jalan Taman Cempaka Indah, Bukit Selambau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI