IPOH – Program ‘Geng Subuh Macam Jumaat’ sempena Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah Madani di Masjid Jamek Al-Amin, Kampung Lata di sini pagi tadi disertai lebih 1,500 jemaah.
Solat Subuh itu turut disertai Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim; pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, Nabil Ahmad, Angah Raja Lawak dan Qawiyaro.
Pejabat Parlimen Tambun dalam kenyataannya memaklumkan, solat yang diimamkan Qawiyaro itu mendapat sambutan dalam kalangan orang ramai apabila mereka hadir seawal pukul 5 pagi.
Katanya, kempen ‘Solat Subuh Macam Jumaat’ itu akan diterus selepas ini di mana pelbagai aktiviti menarik bakal diadakan bagi menarik kehadiran penduduk setempat.
“Pada program hari ini, kita turut mengadakan larian ‘Tambun Fun Run’ sejauh lima kilometer yang turut disertai Muhammad Kamil.
“Selain itu, antara aktiviti lain yang diadakan ialah kenduri rakyat, penyerahan sumbangan peruntukan khas kepada sekolah, demonstrasi khat, penyalinan dan percetakan al-Quran serta persembahan nasyid daripada UNIC, Raihan dan Mirwana,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Karnival bertemakan Hijrah Membina Ummah Madani itu merupakan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Tambun dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC). – KOSMO! ONLINE