SEREMBAN – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan bahawa pemakaian tali pinggang keledar dalam bas ekspres dan bas persiaran mesti dibudayakan demi keselamatan penumpang, sama seperti pematuhan ketat dalam sektor penerbangan.
Menurutnya, rakyat perlu mengubah sikap dan tidak menganggap langkah itu sebagai satu beban, sebaliknya melihatnya sebagai langkah asas keselamatan.
“Dalam kapal terbang, pemakaian tali pinggang keledar adalah perkara biasa. Penumpang ikut arahan tanpa bantahan, malah syarikat penerbangan siap tunjuk demo keselamatan sebagai Prosedur Operasi Standard (SOP).
“Jadi mengapa bila naik bas, kita tidak boleh buat perkara yang sama, tiada beza pun dimana dua – dua ada risiko kemalangan?” katanya kepada pemberita selepas Majlis Hi-Tea Bersama Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Negeri Sembilan 2024 di Seremban di sini, hari ini.
Anthony Loke dalam pada masa menjelaskan bahawa penguatkuasaan pemakaian tali pinggang yang dijalankan itu bukan bersifat bermusim atau berdasarkan operasi khas, sebaliknya dijalankan secara berterusan sepanjang masa.
“Penguatkuasaan ini tidak akan berhenti. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan tindakan secara konsisten, termasuk pendekatan samaran untuk menilai sejauh mana pengusaha bas mematuhi peraturan tersebut,”katanya.-KOSMO! ONLINE