fbpx
Keratan akhbar Kosmo!

IPTS, pencuri data boleh didenda sehingga RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tindakan menyebarkan maklumat peribadi seperti nombor telefon tanpa kebenaran boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Mohamad Azrul Azmi berkata, perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan serius di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.

Beliau berkata, terdapat ba­nyak institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang didapati tidak mendapatkan keizinan pelajar atau ibu bapa sebelum menghantar maklumat pemasaran.

Katanya, hal itu jelas melanggar prinsip pertama PDPA yang menuntut persetujuan daripada pemilik data sebelum sebarang penggunaan atau pemprosesan dilakukan.

“Sekiranya ada IPTS yang menghantar tawaran melalui WhatsApp contohnya, tanpa kebenaran, itu sudah melanggar prinsip utama PDPA.

“Kesalahan itu boleh disabitkan bukan sahaja kepada IPTS, tetapi juga kepada pihak ketiga yang membekalkan data tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.

Mohamad Azrul berkata, sekiranya maklumat pelajar tersebut diperoleh daripada pihak ketiga seperti syarikat broker data, maka kedua-dua pihak boleh didakwa.

“Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya individu atau organisasi gagal menghentikan gangguan selepas diberi amaran.

“Bagaimanapun, sekiranya pihak tersebut masih menghubungi, individu itu boleh membuat aduan rasmi kepada JPDP bersama bukti seperti tangkap layar,” katanya.

Beliau berkata, ramai ibu bapa ataupun pelajar yang menerima mesej tawaran sambung belajar ini tidak tahu mereka boleh buat aduan terus kepada JPDP.

“Proses aduan bermula dengan aduan secara terus kepada pihak terbabit.

“Jika mereka masih mengganggu selepas ditegur, pengadu boleh laporkan kepada JPDP yang akan mengeluarkan Notis Seksyen 43,” ujarnya.

Katanya, orang awam boleh melaporkan aduan kepada JPDP sekiranya didapati maklumat peribadi mereka telah disalahguna melalui laman sesawang https://www.pdp.gov.my/ .

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prof Madya Dr. Muhamad Khairulnizam Zaini berkata, terdapat beberapa faktor utama yang boleh menyebabkan kebocoran data berlaku.

Beliau berkata, walaupun setiap kes perlu disiasat secara spesifik, secara amnya kebocoran data sering kali berpunca daripada dua faktor utama iaitu akses tidak sah serta kelemahan dalam keselamatan sistem.

“Kebocoran boleh berlaku apabila seseorang yang tidak mempunyai kebenaran berjaya menceroboh sistem dan mengakses data sulit, sama ada dari dalam atau luar organisasi,” ujarnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan banyak IPTS menggunakan data peribadi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia untuk menawarkan tempat tanpa dipohon sehingga memberikan kegusaran kepada mereka mengenai kebocoran data peribadi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN