PASIR PUTEH – Mayat seorang lelaki dijumpai dalam keadaan terapung di dalam sungai di belakang Pasar Tok Bali, Cherang Ruku di sini kelmarin.
Mayat lelaki yang lengkap berpakaian itu ditemukan oleh orang awam kira-kira pukul 11.50 pagi.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 12.00 tengah hari sebelum sepasukan pegawai kanan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh bersama anggota Balai Polis Cherang Ruku bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, mayat seorang lelaki dijumpai dalam keadaan terapung di permukaan sungai.
“Lelaki itu didapati memakai baju lengan panjang berwarna hijau dan berseluar trek hitam.
“Pemeriksaan awal terhadap tubuh mangsa tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri dan setakat ini identiti lelaki masih belum dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Zaizul Rizal memberitahu, mayat berkenaan telah dibawa ke Hospital Tengku Anis di sini untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penemuan mayat itu diminta menghubungi Ketua Balai Polis Cherang Ruku, Sarjan Mejar Mohd. Aizirul Azhari di talian 019-456 7181 atau Bilik Gerakan IPD Pasir Puteh, 09-786 7222. – KOSMO! ONLINE