JITRA – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan memantau rapat perkembangan akademik dan kebajikan Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim, 12, yang kehilangan ibu bapanya dalam nahas di Sungai Korok.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pemantauan itu akan dilakukan secara berterusan merangkumi aspek pembelajaran, sokongan psikologi dan persediaan menghadapi peperiksaan penting termasuk ujian kemasukan ke MRSM nanti.
“Kita mengambilnya (Putri Qisya) sebagai anak angkat Mara untuk kita memastikan pembelajarannya yang masih di darjah enam ini, supaya dia boleh mengekalkan prestasi kecemerlangannya. Kita akan bantu dia seperti beri tuisyen-tuisyen khas.
“Mudah-mudahan dia akan kita bantu untuk masuk dalam ujian kemasukan ke MRSM. Kita akan pastikan beliau dapat memenuhi cita-cita untuk masuk ke MRSM itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Kubang Pasu di MRSM Kubang Pasu di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Dr. Asyraf Wajdi, pihaknya turut mengarahkan Mara Kedah supaya memantau sepenuhnya prestasi Putri Qisya yang kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Seberang Perak Baru di Alor Setar.
“Saya sudah mengarahkan Mara Kedah untuk memantaunya dari sekarang, berjumpa dengan pihak sekolah dan berbincang supaya prestasi pelajarannya tidak terganggu. Kita berharap agar dia jangan sekali terkesan dengan tragedi yang menimpa keluarganya.
“Memang bukan mudah untuk anak sekecil itu menghadapi musibah ini, saya bila berjumpa dengan Putri Qisya dan memberitahunya supaya buat yang terbaik. Dia memikirkan soal hasrat dan juga wasiat ibu dan ayahnya. Ibunya mahu anaknya betul-betul masuk ke MRSM,” katanya. – KOSMO! ONLINE