KULAI – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan libat urus dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara lebih agresif bagi menangani isu penjualan vape mengandungi cecair dadah.
Timbalan Menterinya, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, sejak awal tahun lalu hingga Mac lepas, sebanyak 96 kertas siasatan berhubung kes vape mengandungi dadah direkodkan.
Katanya, daripada jumlah tersebut, lebih 70 peratus daripadanya adalah sah mengandungi dadah synthetic cannabinoid dan amphetamine.
“Kita sedang menjalankan sesi libat urus yang lebih agresif dengan PDRM, makmal-makmal kami juga membuat pemeriksaan lanjut mengenainya.
“Kita juga akan membuat penguatkuasaan kepada sumber terutama sekali di peringkat pembuatan dan perkilangan untuk menyemak kandungan cecair vape tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Hari Tanpa Tembakau dan Hari Tuberculosis Sedunia, di IOI Mall, di sini hari ini.
Lukanisman berkata, penguatkuasaan dengan PDRM itu juga antara lain untuk mengesan pihak yang bertanggungjawab menghasilkan cecair dadah dalam vape tersebut. – KOSMO! ONLINE