fbpx

Kilang plastik diserbu, asrama kontena kotor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah kilang pembuatan plastik diperiksa pegawai penguatkuasa dalam operasi bersepadu Ops Plastik di Nilai, baru-baru ini.

SEREMBAN – Sebuah kilang pembuatan plastik dikesan menempatkan 73 pekerja asing dalam kontena tanpa perakuan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan (JTKNS) dalam Ops Plastik di Nilai baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri. S. Veerapan berkata, pemeriksaan mendapati 17 warga Nepal dan 56 warga Bangladesh ditempatkan dalam 16 buah kontena di kawasan kilang tanpa kelulusan JTKNS.

“Kesalahan dikesan di bawah Seksyen 24D Akta 446 (Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990). Selain tidak berdaftar, keadaan penginapan didapati tidak bersih, tidak selamat dan tidak sesuai untuk didiami.

“Antara isu kritikal termasuk pencemaran udara, kebisingan melampau dan persekitaran yang berpotensi menyebarkan penyakit. Keadaan itu mencetuskan kebimbangan serius terhadap kesejahteraan dan keselamatan pekerja,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Susulan operasi itu, JTKNS membuka tiga kertas siasatan, manakala Majlis Bandaraya Seremban mengeluarkan kompaun RM500 dan arahan penutupan penginapan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan turut mengenakan kompaun kerana pembiakan nyamuk di kawasan premis, sementara Syarikat Air Negeri Sembilan pula akan menjalankan penukaran meter air rosak di lokasi.

Beliau berkata, pihak pengurusan kilang mengakui kelemahan dalam penyediaan penginapan dan memberi jaminan untuk memindahkan semua pekerja ke penginapan berdaftar dalam tempoh tiga hari.

“Mereka juga bersetuju untuk hadir Kursus Ceramah Perburuhan sebagai sebahagian daripada pemulihan pematuhan,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI