PETALING JAYA – Rumah satu tingkat tanpa tangga adalah ciri-ciri rumah yang selamat untuk didiami pesara warga emas.
Menurut Public Health Malaysia (PHM) rumah untuk bersara tidak perlu terlalu besar namun perlu dipastikan selamat dan selesa untuk penghuni yang sudah berusia.
Katanya, rumah yang selamat perlu mempunyai ciri-ciri mengurangkan risiko terjatuh dan memudahkan pergerakan.
“Laluan dan pintu pula perlu cukup lebar agar kerusi roda atau walker boleh melaluinya dengan mudah tanpa tersangkut.
“Lantai rumah, terutama di bilik air dan dapur, perlu dipilih dengan teliti. Permukaan anti-gelincir sangat penting bagi mengelakkan kemalangan kecil yang boleh membawa padah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Selain itu katanya, pencahayaan juga tidak boleh diabaikan.
“Lampu automatik atau sensor gerakan amat berguna pada waktu malam, supaya warga emas tidak perlu meraba dalam gelap.
“Di tempat seperti bilik air, tepi katil, atau ruang duduk-bangun, bar sokongan (grab bar) perlu disediakan untuk membantu pergerakan dengan lebih yakin dan selamat,” katanya.
Sementara itu dari segi keselamatan, digalakkan untuk memasang sistem televisyen litar tertutup (CCTV), interkom atau aplikasi pemantauan.
“Ini membolehkan warga emas tinggal lebih berdikari dengan sokongan pemantauan dari jarak jauh.
“Untuk halaman pula, tidak perlu terlalu banyak pokok yang perlukan banyak maintainance. Cukuplah ruang hijau yang ringkas dan mudah dijaga agar rumah tetap tenang tanpa membebankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE