KUALA LUMPUR – Malaysia akan menyalurkan AS$1 juta (RM4.3 juta) bantuan tambahan kepada Palestin, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan yang telah disumbangkan mencecah AS$23 juta sejak September 2023.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bantuan tersebut akan disalurkan menerusi Agensi Bantuan dan Kerja untuk pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) dan Bulan Sabit Merah Palestin.
“Pada persidangan Kerjasama Negara-Negara Asia Timur bagi Pembangunan Palestin (CEAPAD) keempat, saya umumkan tambahan bantuan sebanyak AS$1 juta khusus bagi keperluan mendesak seperti makanan, ubat-ubatan dan barangan asas lain.
“Bagaimanapun, bantuan itu tidak sampai secara terus ke sana, maka kita salurkan melalui dua organisasi yang terbukti berkesan iaitu UNRWA dan Bulan Sabit Merah Palestin. Kita tidak beri kepada individu atau mana-mana pihak lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media penutup Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Mohamad berkata, bantuan tersebut akan diagihkan sama rata yang mana kedua-dua organisasi tersebut bakal menerima AS$500,000.
Sementara itu, katanya, Malaysia juga akan meneruskan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), sekali gus peningkatan keupayaan untuk rakyat Palestin. – KOSMO! ONLINE