WASHINGTON – Seorang lelaki di negeri Michigan yang murah hati membuat permintaan terakhir supaya wang tunai digugurkan dari helikopter selepas dia meninggal dunia sebagai penghargaan kepada masyarakat setempat, lapor porta berita Mail Online semalam.
Darrell ‘Plant’ Thomas merupakan pemilik sebuah kedai cuci kereta popular di Detroit Timur. Dia menghembuskan nafas terakhir pada usia 58 tahun akibat penyakit Alzheimer dan disemadikan 27 Jun lalu.
Seorang anak lelaki Thomas berkata, perbuatan melakukan ‘hujan wang tunai’ itu merupakan hasrat terakhir ayah mereka.
Suasana sedih bertukar riuh rendah apabila sebuah helikopter menggugurkan kelopak mawar dan wang tunai ke arah orang ramai di lokasi perniagaan mendiang Thomas pada hari pengebumiannya.
Menurut anak saudaranya Crystal Perry, bapa saudaranya telah mendermakan wang AS$5,000 (RM21,000) bagi tujuan itu.
“Wang ini ditaburkan sebagai penghormatan untuk bapa saudara saya, penghormatan yang luar biasa!” kata Crystal dengan penuh emosi. – AGENSI