LONDON – Carlos Alcaraz hanya memerlukan tempoh 28 minit untuk mematikan semangat penonton tuan rumah apabila menewaskan Cameron Norrie 6-2 pada set pertama sebelum meraih kemenangan straight-set 6-3, 6-3 sekali gus mara ke separuh akhir Wimbledon.
Juara bertahan itu hampir dikejutkan apabila ketinggalan 0-40 pada servis pertama, namun segera bangkit mempamerkan taring sebenar untuk merekodkan kemenangan ke-23 berturut-turut di pentas Grand Slam.
Aksi bergaya pemain Sepanyol itu hadir ketika penonton masih belum kembali sepenuhnya ke Centre Court selepas perlawanan panjang melibatkan Aryna Sabalenka, namun Alcaraz tidak menunggu lama untuk menguasai perlawanan.
Alcaraz menguasai setiap inci gelanggang dengan pukulan bertenaga dan gaya menghiburkan, hingga Norrie sekadar menjadi pelengkap aksi sebelum sempat berseloroh meraikan satu-satunya mata di penghujung set ketiga.
“Satu lagi separuh akhir di Wimbledon, sangat istimewa. Saya puas hati dengan corak permainan hari ini, lebih-lebih lagi menentang lawan sukar seperti Cam,” kata Alcaraz.
Alcaraz dijangka bertemu pemain Amerika Syarikat, Taylor Fritz dalam perebutan tempat ke final, namun dengan jadual dua hari rehat, momentum yang dibina mungkin sedikit teruji.
Sementara itu, Norrie menjadi pemain British kedua tersingkir di tangan Alcaraz selepas Oliver Tarvet di pusingan kedua, namun setakat ini tiada siapa pun mampu benar-benar menguji ketangkasan juara bertahan itu. – AGENSI