fbpx

Tak sempat sampai ke Israel, kapal kargo karam dibedil militia Houthi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar dikeluarkan oleh Houthi menunjukkan Eternity C sedang tenggelam. - EPA

SANA’A – Seramai enam anak kapal diselamatkan, manakala sekurang-kurangnya tiga lagi terbunuh selepas sebuah kapal kargo diserang militia Houthi dari Yemen dan karam di Laut Merah, kata misi tentera laut Eropah seperti laporan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.

Kapal Eternity C yang mengibarkan bendera Liberia dan dikendalikan oleh Greece membawa 25 anak kapal apabila mengalami kerosakan ketara dan kehilangan semua pendorong. Eternity C  dilaporkan terkena bedilan grenad dan roket yang dilepaskan dari beberapa bot kecil Isnin lalu, demikian menurut agensi Operasi Perdagangan Maritim UK (UKMTO).

Militia Houthi yang disokong Iran berkata, mereka menyerang Eternity C kerana ia menuju ke Israel, manakala sejumlah kru kapal  dibawa oleh kumpulan itu ke lokasi selamat.

Kedutaan Amerika Syarikat di Yemen berkata, Houthi telah menculik ramai anak kapal yang masih hidup dan menggesa agar mereka dibebaskan segera.

Manila berkata, 21 kru kapal tersebut adalah warganegara Filipina. Seorang lagi adalah rakyat Russia yang cedera parah dalam serangan itu dan kehilangan kaki.

Kelmarin misi tentera laut Kesatuan Eropah di Laut Merah, Operation Aspides berkata, pihaknya mengambil bahagian dalam tindak balas antarabangsa terhadap serangan ke atas Eternity C.

“Pada masa ini, enam anak kapal ditemui di laut,” katanya sambil menambah, lima daripada mereka ialah warga Filipina dan seorang warga India, manakala 19 lagi masih hilang.

Eternity C ialah kapal kedua yang ditenggelamkan oleh puak Houthi dalam masa seminggu selepas militia itu melancarkan peluru berpandu dan dron menyasarkan sebuah lagi kapal kargo mengibarkan bendera Liberia, Ahad lalu.

Kapal kendalian  Greece, Magic Seas itu ditembak ketika belayar ke pelabuhan Israel.

Sejak November 2023, militia Houthi telah membedil kira-kira 70 kapal dagang di Laut Merah dan Teluk Aden. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI