SEREMBAN – Sebuah lori tangki yang membawa muatan susu getah yang berhenti di lorong kecemasan mengalami kebocoran selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki tanpa muatan di Kilometer (KM) 261 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan awal pagi tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan PBK I (KUP), Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 Nizam Yom berkata, pihaknya bersama Unit Hazmat dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Setiba di lokasi kejadian pada jam 3.17 pagi, didapati terdapat kemalangan melibatkan sebuah lori tangki muatan susu getah yang rosak di lorong kecemasan dan sebuah lori tangki tiada muatan.
“Kedua-dua pemandu iaitu lelaki Melayu berusia 38 tahun dan lelaki India berusia 36 tahun terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan meskipun rempuhan menyebabkan tangki lori susu getah bocor.
“Pasukan bomba terus menjalankan kerja-kerja pembersihan dan nyahcemar bahan berbahaya susulan kebocoran susu getah daripada tangki. operasi dapat dikawal sepenuhnya dalam masa kurang 15 minit. ” katanya ketika dihubungi.-KOSMO! ONLINE