PARIS – Seorang suami hanya menyedari tertinggal isteri di sebuah stesen minyak hanya selepas dia memandu sejauh 300 kilometer, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Dalam kejadian 5 Julai lalu, pasangan dari Paris itu bertolak ke Maghribi bersama seorang anak perempuan mereka untuk bercuti.
Ketika dalam perjalanan, lelaki yang namanya tidak didedahkan itu berhenti di beberapa stesen minyak sebelum meninggalkan isterinya tanpa disedari.
Dia cuma menyedari kesilapan itu pada jarak kira-kira 300 kilometer, sebelum menghubungi polis sekitar pukul 8.30 pagi (waktu tempatan).
Namun, keadaan menjadi sukar apabila si suami tidak pasti stesen minyak yang mana satu di mana isterinya ditinggalkan.
Keadaan makin rumit apabila anak mereka yang berumur 22 tahun juga tidak dapat membantu kerana dia tidur sepanjang perjalanan.
Walaupun memeriksa beberapa kawasan rehat di sepanjang lebuh raya, polis tidak menemui mangsa, malah mereka mengesyaki lelaki berusia 62 tahun itu sengaja meninggalkan isterinya.
Usaha polis akhirnya berjaya apabila mangsa ditemukan dengan bantuan pengendali perkhidmatan telefon bimbit.
Dia berada di sebuah kawasan rehat di Deux-Sèvres dan tidak bergerak ke mana-mana sejak pukul 4.30 pagi (waktu tempatan) kerana menanti suami datang mengambilnya.
Selepas siasatan ringkas, polis mengesahkan lelaki itu benar-benar tidak sengaja meninggalkan isterinya dan mereka dibenarkan meneruskan perjalanan ke Maghribi. – AGENSI