BALIK PULAU – Suami yang ingkar membayar nafkah anak selepas perceraian berdepan tindakan tegas termasuk risiko pembekuan aset serta disekat pendapatan bagi memastikan perintah Mahkamah Syariah dipatuhi sepenuhnya.
Menurut Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd. Amran Mat Zain, langkah berkenaan telah dilaksanakan sejak dua hingga tiga tahun lalu, susulan beberapa pindaan undang-undang yang membolehkan tindakan lebih tegas diambil terhadap pesalah.
“Pelbagai kaedah telah diperkenalkan bagi menyekat ketidakpatuhan terhadap perintah mahkamah, termasuk sekatan terhadap pendapatan, pelaksanaan prosedur hiwalah (pengalihan pembayaran) dan pembekuan aset untuk disalurkan semula kepada pihak yang berhak.
“Jika sebelum ini ada pihak yang melepaskan diri daripada tanggungjawab membayar nafkah, kini kita ambil langkah yang lebih efektif bagi memastikan setiap keputusan Mahkamah Syariah dihormati dan dipatuhi,” katanya selepas menghadiri Program Literasi Syariah Madani 2025, di Masjid Daerah Barat Daya, di sini hari ini.
Beliau memberitahu, perintah Mahkamah Syariah bukan sekadar dokumen di atas kertas tetapi satu arahan undang-undang yang mempunyai implikasi besar sekiranya tidak dipatuhi.
“Bagi memperkukuh lagi pelaksanaan di peringkat lapangan, JKSM turut mempunyai Bahagian Sokongan Keluarga yang berperanan mengesan dan memantau pelaksanaan perintah nafkah, serta memberikan bantuan kepada pihak yang teraniaya.
“Perintah nafkah boleh dilaksanakan sebaik sahaja ia dikeluarkan oleh mahkamah. Usaha ke arah ini telah bermula sejak dua hingga tiga tahun lalu, termasuk melalui pindaan beberapa akta yang digerakkan oleh ketua pengarah terdahulu,” katanya. -KOSMO! ONLINE