fbpx

Persaingan kuasa besar, ASEAN bina rantau berdaya tahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad berucap pada Majlis Pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Faktor geopolitik dan persaingan kuasa-kuasa besar turut memberi kesan kepada Asia Tenggara sekali gus mendesak ASEAN untuk membina rantau yang berdaya tahan untuk masa depan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pada masa ini, ASEAN juga berdepan ancaman baharu seperti perubahan iklim, teknologi yang membawa kepada kemusnahan serta masyarakat yang cenderung mengikut polarisasi politik dan ekonomi.

“Dasar perlindungan mengancam perdagangan pelbagai hala yang terbuka di mana selama ini menjadi pemacu pertumbuhan kita.

“Konflik yang berlaku jauh dari rantau ini turut mengganggu pasaran, rantaian bekalan dan keselamatan makanan kita. Isu-isu ini mengancam kita semua, terutama sekali negara-negara di Selatan Global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada acara pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Acara pembukaan itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan majlis berkenaan.

Mohamad berkata, dalam mencapai matlamat membina Asia Tenggara yang berdaya tahan, Kepengerusian Malaysia dipandu dengan aspirasi iaitu keterangkuman dan kemampanan.

“Justeru, ASEAN bermatlamat mengukuhkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau dalam rangka kerja berorientasikan masa depan yang berteraskan nilai-nilai ini.

“Beberapa minggu lalu, para pemimpin kita telah menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045, iaitu masa depan bersama kita dan turut meluluskan Wawasan Komuniti ASEAN 2045.

“Wawasan selama 20 tahun ini bertujuan membentuk ASEAN yang berdaya tahan, inovatif dan berpusatkan rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengimbas kembali penubuhan ASEAN 58 tahun lalu yang mana ia melalui perjalanan panjang pada waktu tersebut.

“Lima pemimpin berkumpul untuk menandatangani Deklarasi Bangkok bagi membina sebuah komuniti serantau. Detik itu menjadi titik perubahan besar dalam sejarah rantau ini.

“Pada 1967, ASEAN lahir dalam dunia yang penuh ketegangan dengan ancaman senjata nuklear serta perang proksi di pelbagai tempat,” katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan mencabar itu, usaha menyatukan lima negara Asia Tenggara demi keamanan merupakan langkah yang berani dan berpandangan jauh.

“Ketika dunia berpecah kerana konflik, para pengasas kita memilih untuk menjalin kerjasama dan mengutamakan semangat bekerjasama antara negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI