PETALING JAYA – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyambut baik tindakan tegas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berjaya membongkar kewujudan kartel pembekalan susu tepung bernilai RM120 juta ke agensi-agensi kerajaan.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, kejayaan itu membuktikan ketegasan SPRM dalam memerangi gejala rasuah sistemik yang boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan awam dan menyebabkan ketirisan dana negara.
“MCW memuji tindakan SPRM ini dan berharap kes tersebut disiasat hingga ke akar umbi. Semua individu termasuk penjawat awam yang bersubahat meluluskan perolehan terbabit perlu diheret ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, MCW turut menggesa semua agensi dan jabatan kerajaan agar tidak hanya bergantung kepada pendedahan SPRM, sebaliknya mengambil langkah proaktif mencegah penipuan dan penyalahgunaan sistem perolehan.
Katanya, antara cadangan MCW termasuklah meneliti dan mengemas kini prosedur operasi standard secara berkala, melantik vendor yang telus dan berintegriti, serta menjalankan semakan latar belakang pembekal dengan lebih ketat.
“Agensi juga perlu mewujudkan unit pemantauan dalaman dan audit bebas bagi mengelakkan penyelewengan terus berulang,” katanya.
MCW turut mencadangkan SPRM memperluas siasatan ke sektor perolehan lain yang berisiko tinggi termasuk bekalan makanan ke sekolah, peralatan perubatan, pembinaan infrastruktur dan sistem teknologi maklumat kerajaan.
Katanya, antara penambahbaikan sistemik yang dicadangkan MCW adalah pindaan terhadap Akta Persaingan 2010 bagi membanteras perjanjian rahsia antara pembekal atau bid rigging, serta pembangunan sistem perolehan digital yang lebih telus dan terbuka kepada audit awam.
“Kes ini seharusnya membuka mata semua pihak bahawa gejala rasuah tidak berlaku tanpa kelonggaran daripada dalam sistem itu sendiri. Sudah tiba masanya jentera kerajaan berani melakukan pembaharuan demi memastikan wang rakyat dilindungi,” tegasnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan tiga beranak disyaki dalang kartel pembekalan susu tepung kepada jabatan kerajaan bernilai RM120 juta ditahan menerusi Op White di sini, semalam.
Operasi tersebut dijalankan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara Malaysia membabitkan serbuan ke atas tiga kediaman dan sebuah syarikat sekitar ibu negara hasil risikan kira-kira tiga bulan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tiga beranak berusia 40 hingga 70-an itu terdiri daripada dua pemilik dan seorang pengarah syarikat. – KOSMO! ONLINE