fbpx

Ops Kesan 4.0: KPDN terima 17 aduan kenaikan harga barang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shamsul Nizam (tengah) pada sidang akhbar selepas melakukan pemeriksaan harga dalam OPS KESAN 4.0 di Pasar Borong Selangor di sini hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

PUCHONG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima sebanyak 17 aduan berkaitan kenaikan harga barangan sejak Ops Kesan 4.0 dilaksanakan di seluruh negara pada 1 Julai lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDN, Shamsul Nizam Khalil berkata, kesemua aduan itu bagaimanapun masih dalam siasatan dan tindakan pihaknya.

Beliau memberi amaran tegas akan mengambil tindakan ke atas mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang dengan sewenang-wenangnya susulan perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Sekiranya berlaku pencatutan, peniaga boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat pula berdepan denda sehingga RM500,000,” katanya pada sidang akhbar Pemantauan Ops Kesan 4.0 di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan di sini hari ini.

Menurut Shamsul Nizam, Ops Kesan 4.0 dilaksanakan bagi memastikan tiada peniaga tidak menaikkan harga tanpa alasan munasabah termasuk barangan keperluan asas yang tidak terlibat dengan SST.

Pemeriksaan dilakukan ke atas semua kategori perniagaan termasuk pengilang, pengimport, pemborong, pengedar dan peruncit.

Jelas beliau, sebanyak 375 buah premis diperiksa di seluruh negara sejak 1 hingga 8 Julai lalu dan enam Notis Hadir dikeluarkan kepada peniaga di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Daripada jumlah itu, dua syarikat bersetuju menangguhkan kenaikan harga dan mengekalkan harga sedia ada.

“Dua syarikat lagi memaklumkan pelarasan harga dibuat selaras dengan pengenaan cukai, manakala dua syarikat lain sedang dalam sesi libat urus bersama KPDN,” ujarnya.

Tambahnya, tindakan penguatkuasaan turut mengambil kira empat elemen utama iaitu jenis barangan dan perkhidmatan, status pendaftaran perniagaan dengan kastam, tempoh pergerakan harga dan margin yang tidak menunjukkan unsur pencatutan.

Ops Kesan 4.0 merupakan sebahagian daripada inisiatif Kita Gempur yang dilancarkan pada 19 Oktober tahun lalu bagi membanteras manipulasi dalam aktiviti perniagaan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI