SELEPAS kejayaan besar konsert sulung di Zepp Kuala Lumpur tahun lalu, kumpulan dari Bandung, Indonesia, Juicy Luicy akan sekali lagi memenuhi hasrat peminat tempatan apabila kembali mengadakan persembahan istimewa di Kuala Lumpur pada Ogos depan.
Jika tahun sebelum ini menjadi penutup tirai edisi Malam Galau, kini pentas Ruang Inspirasi Festival (RIF) 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 17 Ogos ini di Mega Star Arena menjadi pentas lebih besar band asal Bandung itu.
Ditubuhkan pada 2010, kumpulan yang dianggotai Julian Kaisar selaku vokalis, Denis Ligia (gitar), Zamzam YM (saksofon), Dwi Nugroho (dram) dan Bina Bagja (bes) itu bakal menghadiahkan peminat dengan persembahan penuh emosi dan inspirasi menerusi lagu-lagu hit yang pernah mencetuskan fenomena seperti Lantas, Lampu Kuning dan Sialan.
Bakal direalisasikan oleh Expoindo dengan kerjasama Thrive, penampilan Juicy Luicy sebagai artis utama juga pembuka tirai RIF 2025 dibuat berdasarkan kekuatan karya mereka yang menyentuh hati dan dekat dengan jiwa pendengar.
“Edisi kali ini, kami menampilkan kumpulan pop alternatif terkenal dari Indonesia, Juicy Luicy sebagai artis utama. Kumpulan ini tidak asing bagi peminat muzik tempatan.
“Tidak dinafikan, Juicy Luicy antara artis yang paling digemari oleh generasi muda di Malaysia.
“Lagu-lagu mereka bukan sahaja dekat dengan pengalaman hidup pendengar, malah sarat dengan mesej emosi yang kuat. Disebabkan itu mereka dipilih sebagai tumpuan utama RIF tahun ini,” jelas pihak penganjur.

Dua sesi
Menariknya, festival berkenaan akan menampilkan dua sesi persembahan dalam satu hari, iaitu pada waktu tengah hari dan malam, sekali gus memberi lebih peluang kepada peminat untuk menikmati pengalaman yang sarat inspirasi.
“Kami mahu penonton merasa lebih rapat dengan artis, bukan sekadar menonton dari jauh. Ada ruang perkongsian, cerita dan inspirasi yang menjadikan setiap momen lebih peribadi dan mendalam,” tambah wakil penganjur.
Dalam masa yang sama, RIF turut dirancang untuk diperluaskan ke beberapa bandar utama lain di Malaysia sebagai satu inisiatif memperkukuh hubungan budaya antara dua negara serumpun, Malaysia dan Indonesia.
Tiket-tiket untuk persembahan malam Juicy Luicy telah dibuka untuk jualan sejak 3 Julai 2025 menerusi aplikasi BBO Events dan laman rasmi ri-fest.com/kualalumpur.
Harga tiket bermula dari RM128 (Presale Silver-Seated) sehingga RM528 (Presale VVIP-Seated), serta tambahan RM150 untuk pakej beramah mesra dan bergambar bersama.