MUAR – Keadaan fizikal seorang penganggur yang didakwa membunuh ibu, bapa dan anak saudaranya di Pagoh, Ogos tahun lalu kini susut selepas mengalami masalah kesihatan akibat sakit sarat.
Badan Azman Mohamed Nor, 48, ketika dituduh membunuh ibu bapanya, Ara Abd Hamid, 76, dan Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, serta anak anak saudara Noradriana Nor Hasyim, 11, di Mahkamah Majistret di sini, 20 Ogos tahun lalu agak berisi.
Namun, hari ini, lelaki yang masih bujang itu sekali lagi didakwa di Mahkamah Tinggi kurus dan tidak mampu berjalan sehingga terpaksa dibantu menggunakan kerusi roda oleh pegawai penjara yang mengiri tertuduh.
Azman berhadapan tiga pertuduhan, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan ketika prosiding sebutan pertama kali di hadapan Hakim Suria Kumar DJ Paul.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, lelaki didakwa membunuh tiga beranak itu antara pukul 1 hingga 3 pagi, sebuah rumah di Jalan Sekolah Kampung Paya Redan, Pagoh, 9 Ogos tahun lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dikenakan hukuman mati.
Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqiilah Ahmad Rofaie manakala Azman tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 27 Ogos ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam tertuduh.
Azman yang kini sedang menjalani hukuman penjara sembilan tahun dan denda RM5,000 atas pertuduhan mencederakan seorang lagi anak saudaranya. – KOSMO! ONLINE