PARIT – Kehilangan dua kakak dan dua abang secara serentak dalam nahas tragis di Jerantut, Pahang bulan lalu memberi kesan emosi yang cukup mendalam kepada adik bongsu mereka, Nur Farisya Ayuni, 12.
Ibu lima beradik itu, Zaini Noh, 52, berkata, perubahan ketara dapat dilihat pada Nur Farisya apabila dia berubah menjadi seorang pendiam dan lebih banyak menyendiri berbanding sikap sebelum ini.
“Rumah ini sekarang sunyi, tidak riuh rendah lagi macam dulu. Nur Farisya pun banyak diam. Kadang-kadang boleh dengar dia mengigau panggil Wani (Nurul Hazwani).
“Pernah juga selepas pulang dari sekolah, dia berkurung di dalam bilik. Bila dijenguk, saya nampak dia sedang memegang gambar Wani sambil menangis,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Padang Kunchor, Bota Kanan di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 12.40 tengah malam di Kilometer 7, Jalan Jerantut Feri-Maran pada 6 Jun lalu, Nurul Hazwani, 17, maut selepas kereta dinaiki bersama kakaknya, Nur Arfiqah, 23, serta dua abang, Mohammad Zulkifli, 21, dan Mohamad Azizul Hakimi, 19, dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard.
Turut terkorban dalam nahas itu ialah suami Nur Arfiqah, Mohamad Ikmal Ishak, 26.
Menurutnya, Nur Farisya amat rapat dengan Nurul Hazwani kerana dua beradik itu bukan sahaja menjalani rutin harian yang sama malah turut berkongsi bilik.
“Dia selalu mengadu sunyi, jadi saya dan suami setiap hari akan membawanya ke kubur. Dia akan duduk bersila di depan kubur dan peluk kubur kakaknya.
“Saya tidak tahu apa perasaan Nur Farisya tapi saya tahu dia rindu. Dia juga tidak benarkan saya beri pakaian kakaknya kepada orang kerana dia mahu simpan. Mana yang boleh pakai, dia akan pakai,” katanya. – KOSMO! ONLINE