LONDON – Pemain tenis No. 1 dunia, Aryna Sabalenka meneruskan misi memburu gelaran sulung Wimbledon apabila melangkah ke peringkat suku akhir selepas menewaskan bekas gandingannya, Elise Mertens.
Pada pusingan keempat berlangsung malam kelmarin, pemain dari Belarus itu tidak berdepan banyak masalah untuk mencatat kemenangan straight set 6-4, 7-6 meskipun sedikit tertekan di set kedua.
Bintang Belarus itu yang tidak beraksi pada edisi tahun lalu akibat kecederaan, mengakui tidak mudah untuk berdepan Mertens memandangkan pemain dari Belgium tersebut cukup arif dengan corak permainan yang ditampilkan.
“Bukan satu perkara mudah untuk bermain menentang seseorang yang anda kenali, lebih-lebih lagi dia tahu permainan saya. Memang agak rumit berdepan Mertens kerana dia sangat bijak sepanjang perlawanan.
“Saya juga tahu dia akan memberikan tentangan sengit kepada saya sehingga ke penghujung perlawanan. Jadi, saya sangat gembira dapat mencatat kemenangan dan meneruskan kemaraan ke suku akhir,” katanya.
Menjelang aksi suku akhir yang dijadualkan berlangsung hari ini, Sabalenka dijadualkan bertemu Laura Siegemund dari Jerman dan dijangka tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan.
“Wimbledon merupakan kejohanan yang sangat bersejarah dan saya sentiasa memasang impian untuk memenanginya. Dengan sokongan anda (penonton) semua, saya akan cuba berikan segala-galanya,” ujar Sabalenka. – AGENSI