PETALING JAYA – Suasana kerohanian yang tenang dan mendidik jiwa pelajar MRSM Balik Pulau mencuri perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau terharu melihat para pelajar sedang tekun mengaji al-Quran dan membaca surah-surah pilihan secara berjemaah antara waktu maghrib dan isyak.
“Biah tarbiyyah dan suasana kerohanian seperti ini adalah kekuatan istimewa sistem pendidikan MRSM yang perlu terus dipelihara dan diperkukuh.
“Inilah asas membentuk generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga teguh dari sudut rohani,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Katanya, lawatan mengejut tersebut dilakukan tanpa sebarang makluman awal kepada pihak pengurusan maktab, sebagai sebahagian pendekatan pemantauan spontan terhadap suasana sebenar di institusi pendidikan berkenaan.
Selain menyampaikan amanat ringkas kepada para pelajar, Asyraf turut meninjau beberapa fasiliti utama termasuk bangunan asrama, blok akademik dan dewan selera bagi memastikan keselesaan dan keperluan pelajar sentiasa terjaga.
“Saya berharap prestasi MRSM Balik Pulau akan terus meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya. Namun, kita harus ingat bahawa kecemerlangan tidak hanya diukur pada keputusan peperiksaan, tetapi juga kepada kekuatan sahsiah dan ilmu ukhrawi dalam melahirkan generasi ulul-albab,” ujarnya.
Tambahnya, pendekatan pendidikan holistik yang diterapkan Mara akan terus melahirkan pelajar yang berkualiti dan mampu berbakti kepada agama, bangsa dan negara. – KOSMO! ONLINE