GEORGE TOWN – Polis mengesahkan menerima laporan kejadian tular membabitkan seorang lelaki yang bertindak mencetus kekecohan di sebuah gerai makanan popular di New Lane di sini, Ahad lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun, yang merupakan anak kepada pemilik gerai kuetiau goreng berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 7 malam, ketika mangsa bersama ahli keluarganya sedang menjalankan perniagaan di gerai makanan di New Lane.
“Seorang lelaki tempatan datang ke lokasi dan bertindak secara agresif serta mengganggu ketenteraman mangsa sekeluarga,” katanya kepada pemberita di sini, malam ini.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati tiada sebarang kecederaan mahupun kerugian dialami pengadu dan keluarganya dalam insiden berkenaan.
“Pengadu turut memaklumkan bahawa suspek telah meminta maaf dan dia memilih untuk tidak meneruskan tindakan undang-undang terhadap lelaki terbabit.
“Berdasarkan pertimbangan itu, kes diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (TTL),” katanya.
Terdahulu, satu rakaman video memaparkan seorang lelaki dipercayai berada di pengaruh alkohol bertindak memarahi peniaga gerai makanan tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. -KOSMO! ONLINE