KUALA TERENGGANU – Pasukan Hoki Terengganu Hockey (THT) bakal ‘berkampung’ selama lapan hari di Melbourne, Australia bagi menyertai siri persahabatan sebagai persiapan rapi menghadapi saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim depan.
Penaung Persatuan Hoki Terengganu (PHT), Saiful Azmi Suhaili berkata,THT menerima jemputan menyertai Piala Hoki Antarabangsa Melbourne yang akan berlangsung di Pusat Sukan Parkville Melbourne dari 1 hingga 8 Oktober depan.
Beliau berkata, kejohanan tersebut menghimpunkan kelab-kelab jemputan dari New Zealand, Jepun, India, Pakistan, Singapura serta Australia.
“Penyertaan THT dalam kejohanan antarabangsa tersebut merupakan peluang keemasan menambah baik aspek taktikal pasukan.
“Ia juga memberi pendedahan kompetitif kepada barisan pemain sebelum mengharungi cabaran di pentas domestik,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung PHT penggal 2025–2027 di Kuala Terengganu kelmarin.
Saiful Azmi berkata, siri perlawanan persahabatan tersebut menjadi medan THT menguji kekuatan dan membina keserasian dalam kalangan pemain.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan hoki Terengganu yang telah mencetuskan pelbagai kejayaan membanggakan di peringkat kebangsaan. – KOSMO! ONLINE