BELAWAI – Mayat enam mangsa yang hilang dalam tragedi bot karam di Pantai Belawai kelmarin akhirnya dijumpai menjadikan jumlah keseluruhan yang lemas adalah 10 orang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, lima mayat yang kesemuanya lelaki dewasa dijumpai pagi tadi oleh orang awam dan Pasukan Pengawal Pantai Sarawak antara pukul 6.50 dan 8.30 pagi.
“Tiga mayat dijumpai di kawasan Muara Belawai dan dua lagi masing-masing ditemukan di simpang Sungai Pinang dan muara Sungai Selumit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut jurucakap itu, mayat seorang lagi mangsa pula ditemukan kira-kira pukul 6 petang semalam.
Beliau berkata, jasad kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu dijumpai kira-kira 300 meter dari Pos Kawalan Operasi Bomba.
Dalam tragedi pada pukul 2 petang kelmarin, sebuah bot fiber yang membawa 17 penumpang warga Indonesia dan barangan keperluan harian karam ekoran ombak besar.
Ketika kejadian bot tersebut dalam perjalanan dari jeti nelayan Kampung Belawai menuju ke Jeti Ladang Kelapa (Zion Pelita). – KOSMO! ONLINE