PETALING JAYA – Malaysia menegaskan komitmen terhadap multilateralisme serta keperluan agar Ketua Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) kekal inklusif, berkesan dan responsif.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah WTO, Dr Ngozi Okonjo-Iweala pada Sidang Kemuncak BRICS ke-17, di Brazil hari ini.
Katanya, perbincangan diadakan berkisar peranan badan itu dalam mendepani cabaran perdagangan global semasa.
“Malaysia juga menyokong penuh reformasi menyeluruh terhadap WTO, selain menyatakan keperluan untuk badan ini diberi nafas baharu.
“Ia membolehkan badan berkenaan mengemudi isu-isu masa hadapan seperti kecerdasan buatan, perdagangan digital dan dasar iklim, tanpa menjejaskan ruang dasar yang adil bagi negara membangun,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, Anwar mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Rio de Janeiro, Brazil bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-17.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata, Anwar hadir atas jemputan Presiden Republik Persekutuan Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva selaku Pengerusi BRICS bagi tahun 2025. – KOSMO! ONLINE