ALOR GAJAH – Seorang ibu tunggal dan teman lelakinya direman tujuh hari bermula hari ini selepas disyaki membunuh seorang bayi perempuan berusia 15 bulan di sebuah premis kedai di Bandar Satelit Pulau Sebang, malam tadi.
Perintah reman hingga 13 Julai itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Alor Gajah, Dr. Teoh Shu Yee terhadap suspek lelaki dan wanita masing-masing berusia 20 dan 24 tahun.
Permohonan reman itu bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, kedua-dua suspek tiba pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan suspek wanita masih memakai pakaian tidur, manakala lelaki berkemeja-T dan berseluar pendek.
Kosmo! pagi tadi melaporkan seorang ibu tunggal dan kekasih barunya ditahan selepas disyaki menyebabkan kematian seorang bayi perempuan berusia 15 bulan di sebuah premis kedai di Bandar Satelit, Pulau Sebang, di sini, malam tadi.
Kejadian terbongkar kira-kira pukul 11 malam selepas pihak Hospital Tampin melaporkan menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri serta terdapat kesan lebam pada perut dan belakang badan.
Menurut sumber, pemeriksaan juga menemui kesan kecederaan pada bahagian dubur mangsa.
“Bayi itu telah dibawa ke hospital oleh ibu kandungnya berusia 24 tahun dan teman lelakinya berusia 20 tahun pada pukul 11 malam selepas mangsa dikatakan tidak sedarkan diri pada pukul 10.30 malam.
“Pemeriksaan pada bayi tersebut menjumpai kesan kecederaan disyaki didera dan mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira 30 minit kemudian,” katanya.- KOSMO! ONLINE