TONGGAK warisan Harimau Malaya, Facundo Garces mendedahkan sudah mengetahui ada salasilah darah Malaysia lebih awal dan perasaan cukup positif dapat menyarung jersi skuad kebangsaan pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 bulan lalu.
Garces yang mewakili kelab La Liga, Deportivo Alaves itu berkata, keputusan untuk mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa boleh memberikan aura positif dalam kariernya selepas ini.
“Pengalaman mewakili Malaysia sangat baik dan sebenarnya saya sudah tahu tentangnya (diserapkan sebagai pemain warisan) sebelum musim tamat, tetapi saya tidak mahu hilang fokus ketika mewakili kelab.
“Apabila peluang itu tiba, mereka (pengurusan kebangsaan) juga memberitahu saya satu projek yang kompetitif sedang dirangka. Ia adalah sesuatu yang positif untuk karier saya.
“Kemudian kami beraksi pada aksi kelayakan dan menang 4-0 ke atas Vietnam dan saya sangat teruja,” katanya kepada media Sepanyol ketika melaporkan diri bersama Alaves.
Selain Garces, empat lagi pemain warisan baharu yang menyertai revolusi skuad kebangsaan ialah Jon Irazabal, Imanol Machuca, Rodrigo Holgado dan Joao Figueiredo.
Mengulas persiapan bersama Alaves, pemain berusia 26 tahun tidak sabar untuk mengharungi aksi pramusim baharu buat kali pertama selepas berhijrah secara rasmi pada Januari lepas.
“Saya tiba pada pertengahan musim dan pada awalnya agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan pasukan dan tahap kejohanan La Liga yang kompetitif.
“Namun, saya sangat gembira dengan kepercayaan yang diberi dan harap dapat pamer aksi lebih positif musim depan,” katanya.
Garces dijangka menjadi tunjang skuad kebangsaan pada kempen Piala Negara-Negara Asia Barat (CAFA) pada penghujung bulan depan.