JAGUH angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan meletakkan sasaran untuk melayakkan diri secara merit ke temasya Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland pada 23 Julai hingga 2 Ogos tahun depan.
Bagi merealisasikan impiannya, dia yang melakukan penampilan pada Sukan Olimpik Paris tahun lalu wajib memenangi pingat emas Kejohanan Angkat Berat Komanwel di Ahmedabad, India bulan depan.
Jelas Aniq, sekiranya gagal memenangi gelaran pada kejohanan itu, dia perlu menyertai satu lagi aksi kelayakan yang dijadualkan berlangsung tahun depan bagi merebut peluang ke Sukan Komanwel.
“Kalau saya mahu melayakkan diri secara merit ke Sukan Komanwel Glasgow, memang perlu dapatkan pingat emas pada aksi kelayakan (Kejohanan Komanwel) yang akan berlangsung pada Ogos nanti.
“Sekiranya tidak dapat pingat emas, saya perlu menyertai satu lagi kejohanan pada tahun depan bagi membolehkan saya memburu tiket ke Sukan Komanwel,” kata atlet berusia 23 tahun itu.
Aniq yang akan beraksi dalam kategori 60 kilogram (kg) meletakkan sasaran untuk melakukan angkatan 125 kilogram (kg) bagi acara snatch dan 160 hingga 165kg dalam clean and jerk.
“Saya tidak mahu letak banyak sasaran kerana saya baru sahaja pulih daripada kecederaan bahu kanan. Bagaimanapun, apa yang penting adalah layak ke Sukan Komanwel secara merit,” ujar Aniq.
Pada Kejohanan Asia, Mei lalu, Aniq melakar sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan acara snatch apabila melakukan angkatan 132kg, memadam catatan lama 130kg dilakukannya di Olimpik Paris tahun lalu.