JOHOR BAHRU – Seorang pemuda maut selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan motosikal, kereta dan lori di Kilometer 46.3 Lebuhraya Senai-Desaru arah Desaru, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan itu berlaku pada pukul 6.45 petang itu melibatkan motosikal jenis Honda FS150, kereta Proton S70 dan lori Hino.
“Kejadian berlaku semasa Proton S70 dipandu seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun bergerak lurus di belakang lori muatan plastik kitaran dari Cahaya Masai menghala Desaru dipandu seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun.
“Semasa sampai di tempat kejadian penunggang motosikal tersebut yang ditunggang lelaki tempatan berusia 34 tahun datang dari arah belakang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Sohaimi berkata, motosikal berkenaan hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang Proton S70 sehingga menyebabkan melambung atas kereta tersebut.
Mangsa kemudian tercampak bawah lori sebelum digilis tayar belakang sebelah kiri kenderaan berat tersebut.
Jelas beliau, akibat kemalangan tersebut penunggang motosikal mengalami cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, pemandu kereta dan lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan dijalankan bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta orang ramai yang menjadi saksi kejadian menyalurkan maklumat kepada pihak polis 07-3864222 bagi bagi siasatan.-KOSMO! ONLINE