SHAH ALAM – Seorang pelajar tingkatan empat maut manakala rakan cedera apabila motosikal dinaiki hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan di Persiaran Sukan, Seksyen 13, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam, mangsa merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9 tersebut maut dilokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Rakannya pula yang cedera di leher dan luka di bahagian kaki dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut. Kedua-dua mangsa berusia 16 tahun.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 dari arah Bulatan Sukan menghala ke sebuah pasar raya besar di Seksyen 13.
Katanya, motosikal tersebut disyaki hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan menyebabkan penunggangnya dan pembonceng motosikal tercampak ke atas jalan.
“Akibat dari kemalangan tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular video berdurasi lapan saat memaparkan keadaan mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu. – KOSMO! ONLINE