SILVERSTONE – Juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton mengakui Grand Prix British hujung minggu ini akan menjadi pentas yang cukup istimewa sekiranya dia berjaya berada di pentas podium bersama Ferrari.
Hamilton, 40, bakal beraksi di hadapan penyokong sendiri di Litar Silverstone yang menjadi saksi dia meraih sembilan kemenangan di litar 5.891 kilometer tersebut sepanjang kariernya.
“Jika saya berjaya naik podium di sini, ia akan jadi sesuatu yang sangat istimewa. Memandu keluar dari pit dalam jentera merah di tempat sendiri, pasti akan beri kesan yang mendalam.
“Saya berharap hujung minggu yang kuat. Saya belum naik podium lagi musim ini, jadi di Silverstone akan jadi tempat yang terbaik untuk lakukannya,” kata Hamilton
Hamilton masih belum menaiki podium dalam perlumbaan utama sejak menyertai Ferrari awal musim ini, namun menunjukkan prestasi positif minggu lalu apabila menamatkan perlumbaan di tempat keempat di Austria.
“Saya harap cuaca beri kejutan. Kalau kering, McLaren mungkin akan jauh di depan, tetapi di Silverstone, cuaca dan angin boleh ubah segalanya.
“Kehadiran penonton yang akan hadir pada perlumbaan di sini juga boleh jadi faktor yang memberi kelebihan kepada saya di sini,” tambahnya.
Rakan sepasukan Hamilton, Charles Leclerc turut berada dalam prestasi baik selepas meraih tempat ketiga di Austria dan mengakui Ferrari kini semakin hampir untuk kembali mencabar kemenangan. – AGENSI