HULU TERENGGANU – Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dalam perjalanan untuk menghadiri kelas tambahan di sekolahnya maut setelah terlibat dalam kemalangan di Kilometer 37, Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi berhampiran Kampung Bukit Diman, Ajil di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Salahuddin Rosmadi,17, mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Diman itu meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Hulu Terengganu pada pukul 10.48 pagi.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Salahuddin dikatakan dalam perjalanan untuk menghadiri kelas tambahan di SMK Bukit Diman dari rumahnya di Taman Pertang Permai, di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda EX5 ditungganginya mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas. Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu namun disahkan meninggal dunia sewaktu menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Sharudin berkata, mayat Muhammad Salahuddin telah dihantar unit forensik hospital sama untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE