SIBU – Seramai empat individu mati lemas, enam lagi masih hilang manakala tujuh selamat dalam kejadian bot karam di Pantai Belawai, berhampiran Kampung Belawai, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata semua mangsa adalah warga Indonesia, dengan mangsa yang meninggal dunia terdiri daripada dua perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.
“Mangsa yang selamat ialah empat lelaki dewasa, dua peremuan dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki. Mangsa yang hilang pula terdiri daripada lima lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki,” katanya.
Menurutnya, kejadian dilaporkan kira-kira pukul 2.11 petang dan pihaknya segera menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis ke lokasi.
“Kejadian melibatkan sebuah bot jenis fiber yang membawa 17 orang penumpang warga Indonesia dari jeti nelayan Kampung Belawai menuju ke Jeti Ladang Kelapa (Zion Pelita) telah karam sebelum sampai jeti pekerja ladang tersebut.
“Difahamkan bot tersebut membawa penumpang serta barang-barang keperluan harian. Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) membuat operasi pencarian dalam radius sejauh tiga kilometer namun masih gagal menjumpai semua mangsa yang hilang.
Operasi SAR melibatkan pasukan bomba, polis, Maritim, Pengawal Pantai Sarawak, Rela dan penduduk kampung, namun bagaimanapun ditangguhkan pada pukul 6 petang kerana keadaan semakin gelap serta akan disambung semula pagi esok. – KOSMO! ONLINE