fbpx

Perkhidmatan Aerotrain KLIA digantung sementara ekoran hujan lebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aerotrain KLIA memulakan operasi sepenuhnya bermula 1 Julai lalu.

SEPANG -Perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) digantung sementara selama lebih sejam pada pagi tadi ekoran pengumpulan air dalam terowong tren susulan hujan lebat.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata, insiden itu berlaku sekitar pukul 11 pagi apabila salah satu pam saliran di terowong berkenaan mengalami kerosakan teknikal.

Katanya, kejadian itu sekali gus menghalang proses penyahairan secara automatik pada tren berkenaan.

“Sebagai langkah keselamatan, operasi tren dihentikan serta-merta sehingga kerja pembersihan dilakukan secara manual dan laluan disahkan selamat untuk digunakan.

“Perkhidmatan kembali beroperasi sepenuhnya pada pukul 12.15 tengah hari selepas menerima kelulusan daripada pasukan teknikal dan keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

MAHB berkata, perkhidmatan pengangkutan ke terminal satelit tidak terjejas sepanjang tempoh itu yang mana penumpang dipindahkan menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik.

“Kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan bagi memastikan sistem pam berfungsi dengan optimum pada masa akan datang terutamanya ketika cuaca buruk.

“Kami memberi jaminan bahawa pemantauan rapi terhadap sistem Aerotrain sedang dijalankan dalam fasa awal operasi ini bagi memastikan sebarang penyesuaian dapat dilaksanakan segera,” katanya.

Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan perasaan berpuas hati terhadap perkhidmatan Aerotrain baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 yang beroperasi secara sepenuhnya.

Untuk rekod, perkhidmatan tren automatik tanpa pemandu yang dimodenkan itu melalui kerja naik taraf bernilai RM456 juta menerusi Pelan Pemulihan Lapangan Terbang MAHB berjumlah RM742 juta.

Aerotrain yang menjadi ikon KLIA sejak 1998 kini dilengkapi set tren Alstom Innovia APM 300R yang serba canggih.

Setiap unit tiga gerabak mampu membawa sehingga 270 penumpang dan bergerak pada kelajuan maksimum 56 kilometer sejam, seterusnya membolehkan perjalanan antara terminal utama dan terminal satelit disingkatkan kepada kurang tiga minit.

Tren baharu itu turut dilengkapi sistem pemantauan keadaan yang canggih bagi mengurangkan gangguan perkhidmatan dan meningkatkan kecekapan operasi, sekali gus memberikan keselesaan yang lebih baik kepada penumpang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI