PUTRAJAYA – Pegawai imigresen didapati melanggar peraturan melibatkan kes kebenaran masuk warga Ghana ke negara ini melalui Pejabat Imigresen Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 18 November 2024.
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berkata, pihaknya menerima aduan mengenai pegawai imigresen tersebut yang didakwa tidak mematuhi prosedur.
“Siasatan mendapati pegawai terbabit melanggar perenggan 4.1 Pekeliling Imigresen Malaysia (PIM) Bil. 19 Tahun 2002 yang menyatakan pemegang pasport negara-negara Afrika hanya dibenarkan masuk ke Malaysia melalui pintu udara.
“Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk kes ini kepada Pihak Berkuasa Tatatertib JIM dengan syor hukuman tatatertib terhadap pegawai terbabit.
“Ia sebagaimana di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993], susulan kesalahan ingkar perintah sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan 4(2)(i) peraturan sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siasatan yang dijalankan EAIC adalah berdasarkan aduan yang diterima mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009. – KOSMO! ONLINE