KANGAR – Perlis memperkenalkan produk pelancongan terbarunya iaitu Hohobus bagi merancakkan industri pelancongan negeri itu sempena Tahun Melawat Perlis 2024–2025.
Exco Pelancongan negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, selain menambah keunikan tarikan sedia ada, usaha membawa masuk HoHobus juga mampu menjana pendapatan penduduk setempat.
“Menerusi perkhidmatan ini, kita yakin dapat mengetengahkan keunikan 10 lokasi menarik di bandar ini dan kawasan sekitarnya.
“Ia dijangkan mampu menyumbang dan membantu merancakkan Tahun Melawat Perlis yang dipanjangkan setahun lagi untuk selaras denagn Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian HoHobus di Terminal Perlis Sentral di sini semalam.
Majlis disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPKangar), Affendi Rajini Kanth berkata, perkhidmatan itu akan beroperasi pada setiap Sabtu dan Ahad dari pukul 9 pagi hingga 8 malam dengan kekerapan dua jam.
“Tambang promosi ditawarkan kepada pengguna iaitu serendah RM3, dengan tempoh perjalanan sekitar satu jam setengah melibatkan 10 lokasi pelancongan sekitar Kangar,” katanya.
Antara lokasi terlibat ialah Dataran Datuk Sheikh Ahmad, Masjid Alwi, Taman Bukit Lagi, Muzium Kota Kayang dan Kampung Warna-Warni Kuala Perlis serta hentian lain termasuk Masjid Terapung Al-Hussain, Jeti Kuala Perlis, Medan Ikan Bakar dan Pantai Kuala Perlis. – KOSMO! ONLINE