fbpx

Mahalnya momen Pentas Peluru Cokelat Barbarik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGANJURAN konsert Pentas Peluru Cokelat Barbarik meninggalkan momen mahal buat peminat rock keras!

KONSERT Pentas Peluru Cokelat yang berlangsung Sabtu lalu di Zepp Kuala Lumpur berjaya membuktikan bahawa band Barbarik berada dalam kelas tersendiri.

Masakan tidak, biarpun konsert bermula pukul 9 malam, sejak awal petang lagi peminat sudah mula beratur di luar pintu masuk Zepp melimpah sehingga ke luar bangunan.

Sempat bertanyakan segelintir peminat, ada yang terbang dari Sabah dan Sarawak, bahkan ada juga yang datang secara rombongan menaiki bas dari Utara semata-mata mahu menyaksikan persembahan Barbarik di depan mata.

Konsert Peluru Cokelat yang dinanti-nantikan peminat rock keras agak berbeza apabila elemen kejutan iaitu senarai lagu didedahkan lebih awal.

Perancangan Barbarik yang dianggotai oleh Muss (vokal), JoBranko (gitar utama), Rozaimi (bass) dan Ainol (dram) itu dilihat berjaya apabila pada malam konsert peminat yang hadir sudah menghadam dan menghafal setiap bait-bait lirik.

Secara tidak langsung menjadikan konsert tersebut hidup dengan nyanyian peminat daripada mula sehingga ke akhir persembahan.

Konsert Pentas Peluru Cokelat membuka tirai dengan lontaran vokal padu Muss dan gorengan gitar JoBranko menerusi lagu Nasib Baik serta diikuti dengan lagu On My Side, Handal, Satu Titik Yang Kosong dan Kasmaran Selamanya.

Tidak ketinggalan lagu-lagu rock keras dengan riff berat seperti Badan Belut Kepala Ular, Sakit Bantal Empuk dan 203 membuatkan penonton kekal dengan adrenalin yang tinggi.

Gorengan gitar berhantu daripada JoBranko antara tarikan utama sepanjang konsert Pentas Peluru Cokelat. – Armz Photodesign & Faizal Darus

“Kami akan pastikan semua yang datang tidak sempat dan rasa sayang untuk keluar ke tandas,” kata Muss berseloroh di atas pentas kepada 2,700 penonton yang memenuhi ruang Zepp KL.

Menyaksikan lagu demi lagu, konsert Pentas Peluru Cokelat nampaknya bukan sekadar konsert biasa sebaliknya sebuah persembahan yang mempunyai cerita umpama menyaksikan sebuah persembahan berkonsep teater rock.

Kebijaksanaan JoBranko selaku pengarah persembahan dan muzik menjadikan pengalaman menonton konsert tersebut begitu mahal.

Bukan sahaja semua anggota Barbarik konsisten dengan persembahan di posisi masing-masing, tetapi juga keseluruhan produksi dari segi kualiti bunyi dan perjalanan konsert pada tahap terbaik.

Retrostika

Momen yang paling meninggalkan kesan adalah menerusi segmen Retrostika yang lebih santai dan tenang apabila Barbarik diiringi orkestra string kecil.

Lebih mencipta rasa adalah kemunculan tetamu jemputan yang merupakan pemain gitar berpengaruh dalam arena muzik rock tempatan iaitu Muzza, Shah Slam dan Ujang Tukimon.

Bersama mereka, Barbarik mendendangkan lagu seperti Sketsa Sebuah Cinta, Potret Monalisa, Cintamu Mekar Di Hati dan Taman Rashidah Utama dengan gubahan baru daripada JoBranko.

Usai segmen tersebut, Barbarik kembali keras dengan barisan lagu Watari, Rastali dan Satelit Puaka bersama kemunculan istimewa seniman Nasir Jani dengan sekuntum puisinya.

Kemunculan Karl Cromok yang berkongsi pentas dalam dua buah lagu iaitu Golok Kayu dan Jerangkung Dalam Almari turut memberi rasa mahal buat konsert rock tegar berkenaan.

Konsert menutup tirai dengan lagu utama yang juga karya daripada album sulung Barbarik iaitu Peluru Cokelat dan Keris Tidak Bersarung sebagai lagu bonus.

“Secara keseluruhan kami semua gembira kerana persembahan berjalan seperti yang dirancang dan penonton juga ‘enjoy’ dengan apa yang kami berikan di atas pentas.

“Sebenarnya bukan mudah, kami juga risau dengan penjualan tiket kerana begitu banyak konsert. Tetapi peminat memberi sokongan menjadikan segala kerja keras selama tiga bulan berbaloi. Insya-Allah untuk projek seterusnya kami akan bersama Cromok pula,” ujar JoBranko dalam sidang media usai konsert.

Secara keseluruhan konsert Pentas Peluru Cokelat yang mendendangkan 22 buah lagu memberi tanda aras yang baru untuk sebuah persembahan kumpulan rock tempatan.

Vokal padu Muss tidak pernah mengecewakan peminat apatah lagu yang dinyanyikan sudah tidak asing peminat tegar Barbarik juga Wings sebelum ini.

Biarpun lahir daripada kumpulan legenda, Barbarik tidak ‘menunggang’ nostalgia semata-mata, sebaliknya berani mencipta jenama dan karya yang baharu untuk terus hidup mewarnai industri muzik

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI