JAKARTA – Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi masih hilang selepas sebuah feri karam ketika dalam perjalanan ke Pulau Bali, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Feri membawa 53 penumpang dan 12 kru itu tenggelam sekitar pukul 11.20 malam (waktu tempatan) ketika belayar ke Bali dari Banyuwangi, Pulau Jawa kelmarin.
Seramai 31 mangsa berjaya diselamatkan, kata pejabat Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Surabaya sambil menambah, operasi menyelamat masih diteruskan.
Beberapa laporan menyebut bahawa feri itu membawa lebih ramai penumpang berbanding sepatutnya.
Kebanyakan mangsa terselamat adalah penduduk dari Banyuwangi, manakala yang lain berasal dari kawasan pedalaman di Pulau Jawa, demikian menurut senarai pihak berkuasa.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang sedang dalam lawatan rasmi ke Arab Saudi, mengarahkan tindakan kecemasan segera diambil.
Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian. – AGENSI