PETALING JAYA – Hospital Kuala Lumpur (HKL) menyerahkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kepada polis bagi membantu siasatan berhubung lelaki warga asing yang ditemui parah di kawasan parkir bertingkat hospital itu Ahad lalu.
Pengarah HKL, Datuk Dr. Harikrishna K.R. Nair berkata, kejadian itu berlaku pada 4.30 petang dan pihaknya sudah membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi pada hari sama.
“Mangsa diberikan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL.
“Kes masih dalam siasatan polis. HKL tidak akan mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini Kosmo! Online melaporkan seorang lelaki asing parah di kepala selain patah tulang rusuk selepas dipercayai dipukul ketika berada di parkir bertingkat HKL.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada penolong pegawai perubatan HKL, pada pukul 8.56 malam.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata. – KOSMO! ONLINE